Monday 3 December 2012

Mari dengar cerita...

Murid-murid prasekolah suka apabila gurunya bercerita. Tidak ketinggalan dengan saya. Saya akan bercerita kepada murid-murid saya mengenai cerita yang mempunyai unsur nilai-nilai murni supaya mereka mendapat pengajaran daripada cerita yang saya bacakan itu. Mari dengar cerita yang bertajuk:

BUDI BAIK DIBALAS BAIK

Di sebuah hutan yang terpencil, tinggal seekor ibu tikus bersama lima ekor anaknya. Si ibu tikus sangat rajin mencari makanan supaya anak-anaknya tidak kelaparan. Ketika si ibu sedang mencari makanan di sebalik daun-daun pokok yang besar, tiba-tiba si ibu tikus terjatuh ke dalam lubang yang sangat dalam. Berkali-kali si ibu cuba keluar tetapi tidak berjaya. Si ibu tikus mulai menangis mengenangkan nasib anak-anaknya yang kelaparan di sarang mereka. Tiba-tiba terdengar ngauman sang singa. Lalu, si ibu tikus menjerit meminta tolong, "Tolong! Tolong!". Sang Singa mencari-cari arah suara meminta tolong itu lalu ternampak si ibu tikus. "Hai, si ibu tikus yang kecil. Mengapa kau meminta tolong padaku. Tidakkah kau takut pada aku", kata Sang Singa dengan angkuh. "Wahai Sang Singa, raja rimba yang budiman, tolong bebaskan aku. Suatu hari nanti, aku akan membalas jasa baikmu". Sang Singa ketawa terbahak-bahak dengan janji si ibu tikus itu. Bagi Sang Singa mana mungkin seekor tikus yang kecil mampu menolongnya. Walau bagaimanapun, Sang Singa tetap membantu dengan menghulurkan ekornya ke dalam lubang tersebut. Selepas berjaya keluar dari lubang itu, si ibu tikus mengucapkan terima kasih kepada Sang Singa.

Pada suatu hari, ketika hendak mencari makanan, si ibu tikus mendengar rintihan orang meminta tolong. Dilihatnya Sang Singa sedang menggelumpur di dalam jaring akibat terkena jerat pemburu. 


Si ibu tikus berasa kasihan dan segera menggigit jaring tersebut sehingga putus bagi membolehkan Sang Singa keluar. Sang Singa berasa malu kerana dahulu ia pernah mengejek si ibu tikus kerana tubuhnya yang kecil. Sang Singa tidak lupa mengucapkan terima kasih. Mulai hari itu, Sang Singa tidak sombong lagi dan mereka menjadi kawan baik.


MORAL CERITA : JANGAN BERSIKAP SOMBONG DAN ANGKUH DENGAN KEHEBATAN DIRI SENDIRI DENGAN MEMPERKECILKAN ORANG LAIN.

Ingat, murid-murid. Kita jangan bersikap sombong kerana sikap itu yang akan merugikan kita.  

2 comments:

  1. Sukanya...betul, kita tidak boleh bersikap sombong terutama kepada anak didik kita yang comel-comel tu..mereka belum pandai membezakan perasaan kendiri. Malahan kita yang membentuknya..melalui dendangan cerita-cerita tauladan..

    ReplyDelete
  2. Betul...betul...betul...kata cikgu Zulina itu. Kanak-kanak boleh dibentuk melalui cerita-cerita tauladan.

    ReplyDelete