Monday 26 November 2012

Ibu Bapa Berketerampilan

            
gambar kartun muslim 3

        Mendidik anak pada zaman milenium tidak sama dengan mendidik anak pada zaman perang Jepun kerana suasana dan  budaya yang berbeza. Masyarakat turut berubah seiring dengan ledakan teknologi maklumat. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu bijak berhadapan dengan kemodenan dalam usaha mendidik anak-anak menjadi insan yang positif. Ibu bapa yang berketerampilan akan menyediakan diri mereka demi untuk mendidik anak-anak, terutamanya dalam arus globalisasi dunia masa kini yang begitu mencabar.

Langkah-langkah Membentuk Keterampilan Ibu Bapa

  1. Berilmu - Bagaimanakah menjadi ibu bapa yang berketerampilan? Carilah ilmu melalui pembacaan buku-buku ilmiah, menghadiri kursus keibubapaan, mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih tua, mengikuti rancangan motivasi di televisyen, mendengar CD motivasi dan sebagainya. Kemahiran serta kaedah mendidik anak, cara memarahi anak, merangsang minda positif, berdoa untuk anak-anak dan sebagainya adalah penting.
  2. Jadi guru kepada anak-anak - Ibu bapa adalah role model kepada anak-anak. Amalan seharian hidup ibu bapa itulah yang pertama akan ditiru anak-anak. Semakin hari, anak-anak kian membesar. Justeru, ibu bapa perlu bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan. Ibu bapa yang berketerampilan mesti bersedia menurunkan ilmu kepada anak-anak. Tugas memberi ilmu tidak semestinya dipikul oleh guru-guru di sekolah. Ibu bapalah guru sebenar anak-anak. Ibu bapa mengajar pengajaran tidak formal di rumah. Masa yang ada di sekolah amat terhad. Guru-guru sudah berusaha gigih mengajar dan memberikan ilmu kepada anak-anak ketika di sekolah.
  3. Menjawab pertanyaan anak-anak - Ibu bapa sebagai guru yang memberi ilmu buat anak-anak. Melalui ilmu, ibu bapa sepatutnya menjawab soalan yang dikemukan oleh anak-anak dan menjadi tempat rujukan mereka. Ramai ibu bapa yang tidak prihatin terhadap perkara ini dan menganggapnya sebagai perkara remeh. Ini jelas apabila ada ibu bapa yang memarahi anak yang kerap bertanya itu dan ini. Ibu bapa perlu merangsang semangat ingin tahu anak-anak. Minda anak-anak ini akan berkembang kerana setiap kali persoalan muncul di benaknya, otak mereka semakin bersedia menerima lebih banyak ilmu.
  4. Beri penerangan dengan tepat - Jawapan ibu bapa perlu tepat apabila ditanya anak-anak supaya tidak menyimpang daripada maksud sebenar yang kadangkala boleh memberi kesan pada aqidah anak-anak. Oleh sebab itu, kebijaksanaan adalah perlu apabila berdepan dengan persoalan anak-anak. Sebetulnya, berilah penerangan sebenar yang cukup mudah untuk difahami oleh anak kita. Jangan anggap anak kita terlalu kecil untuk memahami semua itu kerana persoalan aqidah penting dan anak kita telah didedahkan kepada keesaan-Nya, seawal hari pertama mereka melihat dunia.
  5. Bijak bertindak - Ibu bapa yang berilmu semestinya berhikmah dalam segala tindakan dan bertindak dengan bijak. Jangan mudah melatah apabila berdepan dengan apa jua situasi yang kadangkala tidak diduga. Ibu bapa yang berketerampilan bukan hanya tahu menjerit dan memarahi anak-anak sebaliknya tenang dan bertindak dengan penuh bijaksana. Ini adalah beberapa kesan mengamalkan ilmu di dada.
Situasi 1: Memarahi anak
  • Jangan marah anak di hadapan orang lain
  • Jangan marah dengan menggunakan perkataan yang tidak elok seperti : "kamu ini pemalas betul" kerana kata-kata itu merupakan doa.
  • Beri hukuman yang sewajarnya yang boleh memberikan manfaat kepada anak seperti menyuruhnya mengelap air yang ditumpahkannya. Ini akan mengajarnya bertanggungjawab terhadap perbuatan salahnya.
  • Ibu bapa perlu memukul atau merotan anak jika tidak menunaikan solat apabila sampai umur 10 tahun tetapi tidak boleh memukul pada bahagian muka, telinga dan yang tidak sepatutnya.
Situasi 2: Menasihati dan menegur anak
  • Nasihati secara lembut dan penuh kasih sayang kerana nasihat yang disertakan kasih sayang akan menyentuh hati anak sedangkan kekerasan akan menjadikan anak bertambah degil. Namun kekerasan boleh digunakan dalam situasi tertentu (tidak kerap).
  • Beritahu anak bahawa anda sayang kepadanya, yakni kita menasihati mereka bukan sebab benci tetapi kerana sayang.
  • Pilih waktu yang sesuai untuk menegur anak seperti selepas solat, selepas membaca al-Quran, sebelum anak masuk tidur, semasa anak hampir lena ataupun selepas anak mandi.
  • Jangan menasihati atau mengajar anak "ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul". Nasihatilah sesuatu yang ibu bapa sendiri sudah lakukan.
Situasi 3: memberi arahan kepada anak
  • Beri arahan secara jelas, tepat dan dengan nada lembut supaya anak dapat memahami dan bertindak dengan betul
  • Hargai anak selepas melaksanakan arahan dengan memberi ganjaran seperti ciuman, dakapan dan ucapan terima kasih.
  • Elakkan memberi ganjaran berbentuk wang kerana ini akan melatih anak melakukan sesuatu kerana mengharapkan ganjaran kebendaan.
Situasi 4: Menyatakan larangan
  • Melarang anak dengan cara berhikmah
  • Menyatakan sebab larangan supaya anak tahu bahawa larangan itu bersebab
  • Beri alternatif kepada anak-anak apabila melarangnya daripada melakukan sesuatu
  • Ibu bapa mesti mematuhi larangan yang mereka gariskan kepada anak
Situasi 5: Memberi pujian
  • Iktiraf segala usaha anak walaupun tidak menunjukkan hasil yang cemerlang
  • Pujian boleh meningkatkan keyakinan diri anak dan mereka rasa dihargai
  • Pujian kepada perbuatan positif menggalakkan anak mengulangi perbuatan yang sama, sekaligus menjadi amalan hidup seharian
  • Elakkan memuji keterlaluan sehingga anak tidak tahu membezakan yang baik dan buruk
Situasi 6: Berkomunikasi dengan anak
  • Dengar pandangan anak-anak kerana ada kalanya pandangan mereka bernas
  • Sentuhan (pelukan, pegang tangan anak) juga penting semasa proses komunikasi
  • Berkomunikasilah seperti seorang kawan supaya anak berasa selesa berkomunikasi terutamanya apabila mereka meningkat remaja
  • Dengarlah setiap celoteh mereka dengan penuh minat. Dengan ini ibu bapa akan menjadi tempat meluahkan apa-apa sahaja. Anak tidak perlu mencari kawan untuk berkongsi perasaan atau perkara peribadi.
kartun_berdoa-ibu-anak[2]

4 comments:

  1. Tahniah! panduan yang amat berguna dalam mendidik anak-anak.

    ReplyDelete
  2. Sebagai peringatan dan panduan untuk kita semua di dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi anak yang baik dan kita menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab kelak...:)

    ReplyDelete