Thursday 15 November 2012

Prasekolah Mukadimah



Kanak-kanak perlu kuasai pengetahuan, kemahiran asas sebelum memasuki alam persekolahan formal


MENJADIKAN prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi mengukuhkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal wajar kerana ia bukan saja dapat mencapai matlamat itu, malah mengimbangi penguasaan pengetahuan asas ketika mereka memasuki alam persekolahan formal.

Fenomena kini, ada sebahagian murid tidak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sekalipun sudah belajar di Tahun Enam kerana ketinggalan dalam pembelajaran, antara lain dikatakan berpunca pencapaian dan penguasaan kemahiran berbeza sejak memasuki Tahun Satu lagi.

Sehubungan itu, pelaksanaan prasekolah untuk semua kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan sebenar disifatkan mampu membantu perkembangan pendidikan seterusnya, di samping memudahkan proses pengajaran guru di bilik darjah.

Langkah itu juga memberi kesedaran pelbagai pihak, terutama ibu bapa supaya mementingkan pendidikan awal serta mengubah sikap mereka sebelum ini yang memandang ringan terhadap keperluan memberi pendidikan itu.
Kepentingan pendidikan prasekolah tidak dinafikan seperti kata tokoh akademik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, ia adalah permulaan memasuki dunia pendidikan yang mampu memberi kesan positif kepada proses tumbesaran.


Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, usaha kerajaan itu adalah langkah pembaharuan terhadap perkembangan pendidikan prasekolah negara. Malah beliau yakin ia mampu melahirkan murid lebih matang apabila memasuki alam persekolahan, sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadap kurikulum dan tenaga pengajar pendidikan peringkat berkenaan. Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata, keperluan prasarana bagi memenuhi keperluan pendidikan prasekolah juga wajar ditingkatkan dengan memberi keutamaan kawasan luar bandar.

No comments:

Post a Comment