Wednesday, 21 November 2012

Jadilah seorang guru yang cemerlang

       Sesungguhnya para pendidik hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangikan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Guru adalah merupakan agen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kaca mata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberikan kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat serta tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah.

         Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama. Sejarah tidak pernah menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Masyarakat ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal. Kalau dulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini, jajahannya diterjemahankan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara professional dan kreatif.



    Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajui negara ini. Oleh itu, kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke semasa. Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan kurikulum berkenaan, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

       Sehubungan dengan kehendak tersebut, guru harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan diharapkan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran.

   Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui 'online'. Para guru pada hari ini telah bersikap produktif, proaktif dan responsive terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju.

     Ilmu dan kemahiran dalm teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut.

         Sistem pendidikan di negara ini akan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Perubahan-perubahan yang dilakukan dalm kurikulum pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak negara merealisasikan sebuah negara maju pada masa hadapan. Setiap perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion keguruan. Justeru itu, para guru sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meningkatkan aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi.
        

2 comments:

  1. "Guru diibarat sebatang lilin yang menerangi orang lain di dalam kegelapan". Begitulah besarnya tanggungjawab seorang guru.

    ReplyDelete